Pengenalan
Etika berasal daripada perkataan Greek
“ethos” yang bermaksud perwatakan peribadi. Etika ialah tingkahlaku dan
kelakuan moral yang dijangka diikuti oleh manusia. Etika merujuk kepada
prinsip-prinsip benar atau salah yang boleh digunakan oleh individu dalam
membuat pilihan bagi membimbing gelagat mereka. Apabila berhadapan dengan
pilihan, individu perlu memikirkan tindakan-tindakan yang boleh diambil
dan membuat pilihan tindakan moral yang
betul.
Teknologi maklumat dan sistem-sistem
maklumat membangkitkan persoalan-persoalan etika baru untuk individu dan
masyarakat kerana kedua-duanya memberi peluang-peluang perubahan sosial yang
pesat dan ini mengancam pengagihan kuasa, wang, hak-hak dan tanggungjawab sedia
ada. Ini adalah kerana seperti teknologi lain iaitu teknologi elektrik, telefon
dan radio, teknologi maklumat boleh digunakan untuk melakukan jenayah dan
mengancam nilai-nilai sosial yang telah ada.
Tindakan tidak beretika dalam dunia
teknologi maklumat melibatkan hak cipta, harta intelek dan fenomena cetak
rompak perisian komputer yang berleluasa. Matlamatnya adalah penjual
mengharapkan keutungan lumayan tanpa kos pelaburan besar manakala pengguna
hanya mahu mendapatkan produk yang murah tanpa mempertimbangkan aspek kualiti
dan kesan negatif dalam jangka panjang.
Masalah ini menjadi semakin serius dengan
adanya kemudahan Internet yang memberi laluan kepada perdagangan elektronik
(e-dagang). Perkembangan-perkembangan ini secara tidak langsung menghadkan
pertumbuhan pembangunan perisian dan harta intelek.
Etika komputer
Etika komputer, menurut Prof. J.J Moor,
ialah analisis impak tabii dan sosial oleh teknologi komputer dan perumusan dan
justifikasi polisi etika penggunaan teknologi tersebut. Beliau juga
menggariskan tiga sebab utama kenapa masyarakat begitu prihatin ke atas etika
komputer iaitu: (Management Information System, McLeod, 1995, Prentuce Hall)
- kemudahbentukan secara logik (logical malleability): bermaksud kebolehan
aturcara komputer menjalankan apa yang
disuruh oleh pengaturcara. Masyarakat mungkin tidak takut kepada orang di
belakang komputer (iaitu profesional teknologi maklumat). Contohnya, kenyataan
‘komputer yang melakukan’.
- faktor penjelmaan (transformation factor): berkaitan dengan kepercayaan yang
komputer boleh mengubah secara drastik
amalan kebiasaan kita. Contohnya EDI, e-mel dan lain-lain.
- faktor hanuman (invisibility factor) : Berkaitan dengan pandangan masyarakat melihat komputer sebagai kotak hitam. Semua operasi komputer berjalan secara terselindung atau tidak nampak (hanuman). Ini memberikan peluang untuk;
(a) nilai hanuman pengaturcaraan: kesilapan
aturcara.
(b) pengiraan kompleks hanuman: kepercayaan
terus kepada aturcara.
(c) Penyalahgunaan hanuman: penyeliaan secara
elektronik.
Prinsip etika
Prinsip etika seperti di bawah
mesti sentiasa berada dalam hati kita sebagai panduan pelaksanaan teknologi
maklumat apabila kita ingin membuat pilihan etika. Prinsip tersebut adalah;
- Keseimbangan (proportionality): kebaikan yang dibawa oleh teknologi maklumat mesti lebih baik daripada risiko dan keburukan.
- Keizinan termaklum (informed consent): mereka yang menerima kesan teknologi maklumat mesti faham dan menerima risiko yang akan dihadapi.
- Keadilan (justice): Manfaat dan keburukan teknologi maklumat mesti diagih secara adil. Mereka yang menerima kebaikan patut menanggung sama risiko dan kepada yang tidak menerima kebaikan tidak patut menanggung risiko yang lebih.
- Meminimumkan risiko (minimised risk): Jika ketiga-tiga panduan (keseimbangan, keizinan, termaklum dan keadilan) diterima, teknologi maklumat mesti dilaksanakan dengan mengelak risiko yang tidak berkaitan. Banyak risiko etika yang mungkin timbul apabila melaksanakan teknologi maklumat yang mengakibatkan salah maklumat, melanggar keperibadian dan pencemaran persekitaran. Antara risiko tersebut adalah;
- Bagaimana tindakan undang-undang boleh diambil/dikenakan.
- Bagaimana kemungkinan ancaman lain berlaku yang mungkin disebabkan oleh melanggar peribadi.
Kod etika
Siapakah yang perlu diutamakan walaupun
terdapat kod etika? Majikan, pelanggan masyarakat atau siapa? Tujuh soalan
cadangan John McLeod dapat menentukan etika sesuatu tindakan;
- Adakah satu kehormatan (honourable)? Adakah sesiapa yang anda hendak menyembunyikan tindakan itu?
- Adakah satu kejujuran(honest)? Adakah melanggar kejujuran atau pengkhianatan kepercayaan?
- Adakah mengelak kemungkinan pertentangan kepentingan? Adakah pertimbangan lain yang memungkinkan keputusan berat sebelah.
- Adakah dalam jangkauan kemahiran? Adakah mungkin usaha terbaik anda masih tidak mencukupi?
- Adakah adil? Adakah menidakkan kepentingan hak orang lain.
- Adakah bertimbang rasa? Adakah melanggar kerahsiaan, keperibadian atau menyinggung orang lain?
- Adakah konservatif? Adakah membuang masa atau sumber lain?
10 perkara untuk pengguna dan profesional komputer yang dicadangkan oleh
Institut Etika Komputer (Computer Ethics
Institute)
- Tidak menggunakan komputer untuk membahayakan orang lain.
- Tidak mengganggu kerja komputer orang lain.
- Tidak membelek fail komputer orang lain.
- Tidak menggunakan komputer untuk mencuri.
- Tidak menggunakan komputer untuk menjadi saksi palsu.
- Tidak menggunakan atau menyalin perisian yang tidak dibeli secara sah.
- Tidak menggunakan sumber komputer orang lain tanpa kebenaran atau sebarang bayaran.
- Tidak menggunakan tanpa kebenaran output intelektual orang lain.
- Memikirkan akan kesan sosial program atau sistem yang dibangunkan.
- Menggunakan komputer dengan memberi pertimbangan dan hormat kepada manusia lain.
Menghayati isu hak cipta, harta intelek dan cetak rompak perisian.
Hak Cipta
Hak
cipta adalah satu perakuan undang-undang yang melindungi pencipta-pencipta
harta intelek daripada ditiru oleh orang lain untuk sebarang tujuan. Ini
menetapkan hak-hak pembeli untuk menggunakan perisian dan pada masa yang sama
penciptanya mengekalkan hak milik dari segi undang-undang.
Perlindungan
hak cipta adalah jelas. Ia melindungi program daripada ditiru sebahagian atau
seluruhnya. Ganti rugi akan diperolehi sekiranya undang-undang ini dilanggar.
Kekurangan dalam perlindungan hak cipta ini ialah idea-idea tersirat di sebalik
suatu hasil kerja itu tidak dilindungi, hanya manifestasi daripada hasil kerja
itu sahaja yang dilindungi. Seorang pesaing boleh menggunakan perisian orang
lain, memahami bagaimana ia berfungsi dan membuat perisian baru yang mengikut
konsep yang sama tanpa melanggar hak cipta.
Saman
pelanggaran hak cipta “lihat & rasa” adalah mengenai perbezaan di antara
satu idea dan bagaimana ia dinyatakan atau diluahkan. Sebagai contoh, pada awal tahun 1990-an, Apple Computer
telah menyaman Microsoft Corporation dan Hewlett Corporation Inc. Atas
perlanggaran hak cipta rupa paparan pengantara (interface). Apple Macintosh
mendakwa bahawa defenden meniru rupa Window yang berlapis-lapis. Defenden
membalas dakwaan bahawa idea Window yang berlapis-lapis hanya boleh dinyatakan
dalam satu cara dan oleh sebab itu, ia tidak boleh dilindungi di bawah doktrin
gabungan dalam undang-undang hak cipta. Apabila idea-idea dan pernyataan
bergabung, pernyataan tersebut tidak boleh dijadikan hak cipta. Secara umum,
mahkamah mendapati bahawa konsep, fungsi, ciri-ciri fungsi umum (contohnya menu
“drop-down”) atau warna-warna tidak dilindungi oleh undang-undang hak cipta.
Di Malaysia, Akta Hak Cipta 1987 secara jelas memberi perlindungan kepada perisian
komputer atau kompilasi perisian komputer. Individu atau syarikat yang didapati
bersalah kerana memiliki salinan perisian komputer cetak rompak boleh didenda
sehingga RM10,000 untuk setiap salinan atau penjara selama lima tahun atau
kedua-duanya sekali.
Menurut akta yang sama, jika didapati
membuat atau mempunyai alat sama ada digunakan atau bertujuan menghasilkan
salinan perisian tanpa kebenaran denda sehingga RM20,000 untuk setiap alat atau
hukuman penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit
kesalahan.
Akta Hak Cipta (Pindaan) 1997 memberikan
perlindungan penuh kepada pembangunan multimedia, memastikan kerja seseorang
pencipta tidak boleh dipersembah sebagai kerja orang lain, melarang persembahan
sesuatu kerja dalam bentuk yang telah diubahsuai serta mengelakkan pindahan dan
pengubahsuaian maklumat pengurusan hak elektronik.
Harta Intelek
Sistem-sistem maklumat terkini telah
mencabar dengan hebat undang-undang yang sedia ada dan amalan-amalan sosial
yang melindungi harta intelek persendirian. Harta intelek adalah harta bukan
kebendaan yang dicipta oleh individu-individu atau syarikat-syarikat. Teknologi
maklumat telah menjadikan perlindungan harta intelek sukar dilakukan kerana
maklumat dalam komputer boleh disalin atau diedarkan dengan mudah melalui
rangkaian-rangkaian.
Bilangan rangkaian elektronik yang
bertambah dengan pantas, termasuk Internet, telah menyukarkan lagi usaha untuk
melindungi harta intelek. Sebelum penggunaan meluas rangkaian-rangkaian,
salinan-salinan perisian, buku-buku, artikel-artikel majalah atau filem-filem
mesti disimpan dalam media fizikal seperti kertas, disket komputer atau pita
video. Ini menyebabkan halangan kepada penyebarannya. Melalui rangkaian,
maklumat boleh dihasilkan semula dan disebarkan dengan lebih meluas (Johnson,
1997). Dengan World Wide Web, terutamanya, seseorang boleh menyalin semula dan
menyebarkan hampir apa sahaja kepada beribuan malah berjuta-juta orang di
seluruh dunia, walaupun mereka menggunakan sistem-sistem komputer yang berbeza.
Maklumat boleh diambil secara tidak sah
daripada satu tempat dan disebarkan melalui sistem-sistem dan
rangkaian-rangkaian lain walaupun pihak-pihak ini tidak berniat untuk terlibat
dalam perlanggaran hak ini (Carazos, 1996). Internet telah dicipta untuk
menyebarkan maklumat secara bebas ke seluruh dunia, termasuk maklumat-maklumat
yang mempunyai hak cipta. Harta-harta intelek yang boleh disalin semula dengan
mudah akan disalin semula (Chabrow, 1996)
Cara bagaimana maklumat diperoleh dan
dipersembahkan di dalam Web telah mencabar perlindungan ke atas harta intelek
(Okerson, 1996). Laman-laman Web boleh dibina daripada serpihan-serpihan teks,
grafik, bunyi atau video yang mungkin berasal dari banyak sumber yang berbeza.
Setiap bahan mungkin dimiliki oleh entiti yang berbeza menyebabkan timbulnya
isu-isu pemilikan dan ganti rugi yang rumit.
Mekanisma telah dicipta untuk menjual dan
mengedarkan buku-buku, artikel dan harta-harta intelek yang lain dalam
Internet, tetapi para penerbit terus bimbang mengenai pencerobohan hak cipta
kerana harta intelek kini boleh disalin dengan begitu mudah.
Kajian Pencabulan Harta Intelek 2000 yang dikeluarkan oleh gabungan syarikat-syarikat
perisian dan Internet dunia, Business Sofware Alliance (BSA), menunjukkan
industri perisian negara ini mengalami kerugian sebanyak RM319 juta pada tahun
1999 akibat cetak rompak.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan
sebanyak enam peratus atau RM18 juta berbanding tahun 1998 apabila kerugian
yang dicatat oleh industri negara pada ketika itu berjumlah RM301 juta.Ini
seterusnya meletakkan Malaysia di tangga pertama dari segi jumlah kerugian yang
ditanggung akibat gejala cetak rompak berbanding negara ASEAN lain.
Dari segi, kadar cetak rompak pula, negara
mencatat penurunan kepada kepada 71 peratus berbanding 73 peratus pada
1998.Kadar tertinggi cetak rompak yang pernah dicatat oleh negara ialah 80
peratus pada tahun 1994. Kadar tersebut kemudian menurun kepada 77 peratus pada
1995, sebelum naik semula pada tahun 1995 kepada 80 peratus. Kajian yang
dilakukan ke atas lebih 81 buah negara itu menunjukkan jumlah keseluruhan
kerugian yang dialami oleh industri Internet dan perisian dunia berjumlah
RM45.8 billion. Jumlah kerugian terkumpul sejak lima tahun lalu pula berjumlah RM224.2
billion.
Cetak Rompak Perisian Komputer
Cetak rompak perisian komputer bermaksud penyalinan secara haram perisian tersebut dengan
menggunakan apa-apa cara. Apabila perisian itu dibeli oleh pengguna, hanya satu
salinan perisian itu boleh disimpan di dalam cakera keras atau cakera liut
pengguna. Pengguna tidak dibenarkan menyalin salinan asal ke dalam cakera keras
komputer lain tanpa kebenaran pengaturcara perisian tersebut.
Jika pengguna membeli satu perisian dari kedai. Apa yang dibeli oleh
pengguna terbabit ialah bukannya dalam bentuk material, sebagai contoh, cd-rom/
cakera liut, buku panduan, dan lain-lain, tetapi dalam bentuk lesen penggunaan.
Ini bermakna, hanya seorang pengguna dibenarkan menggunakan perisian itu pada
satu masa. Cuba kita anggap perlesenan perisian ini sebagai buku. Jika Pengguna
A membeli sebuah buku novel, pada satu masa cuma seorang pembaca sahaja boleh
membaca buku itu. Tidak ada cara bagi orang lain di tempat yang lain membaca
buku yang sama. Sama seperti perisian komputer, Jika pengguna itu mahu
menggunakan perisian itu di komputer yang lain untuk tempoh yang tetap, dia
terpaksa memadamkan perisian tersebut pada komputer yang asal dan membuat
instalasi perisian pada komputer baru yang mahu digunakan olehnya.
Jika pengguna itu mempunyai salinan perisian di pejabat dan dia mahu
menggunakan perisian itu di rumah, ketika dia tidak berada di pejabat, maka dia
boleh meletakkan perisian tersebut pada komputernya di rumah dengan syarat
pengguna itu seorang sahaja yang menggunakan salinannya di rumah atau di pejabat.
Contoh-contoh
penyalinan haram yang biasa dilakukan oleh pengguna:
·
Contoh 1 Pengguna A membeli perisian tersebut di
kedai, dan dia memberitahu tentang perisian tersebut kepada Pengguna B.
Pengguna B berminat untuk menggunakan perisian tersebut di komputernya dan
meminta supaya Pengguna A membuatkannya satu salinan perisian tersebut untuk
pengguna B gunakan. Ini adalah cetak rompak perisian yang selalu berlaku di
Malaysia.
·
Contoh 2 Kolej A baru membeli 50 buah komputer
baru. Penjaga makmal komputer itu telah membeli 1 salinan perisian yang hendak
digunakan oleh pelajar-pelajar kolej tersebut di kedai berhampiran. Untuk
menjimatkan kos, penjaga makmal komputer tersebut telah meletakkan perisian
tersebut pada cakera keras di 50 buah komputer makmal itu dengan hanya
menggunakan hanya 1 salinan asal. Cetak rompak seperti ini berlaku kebanyakan
institusi-institusi pengajian di Malaysia.
·
Contoh 3 Pengguna A telah pun memesan sebuah
komputer dari sebuah syarikat yang membekalkan komputer. Oleh kerana tuan punya
syarikat itu mahu menjalin hubungan baik dengan pelanggannya. Dia telah
meletakkan bebagai-bagai perisian kedalam cakera keras komputer tersebut. Ini
adalah merangkumi perisian Windows 95, AutoCad, CorelDraw dan bermacam-macam
lagi. Tetapi pengguna hanya membayar untuk kos perkakasan dan bukan untuk kos
perisian. Tuan punya syarikat komputer itu telah melakukan kesalahan yang besar
dengan membuat salinan haram perisian ke cakera keras pengguna. Pengguna juga
dianggap bersubahat jika pengguna terus menggunakan perisian-perisian yang
telah didapati dalam cakera keras beliau.
Sebab-sebab berlaku
Cetak rompak ini berlaku disebabkan sifat ketamakan, sifat tidak
bertimbangrasa, tidak menghormati hak orang lain. Perisian komputer bukan dalam
bentuk material, tetapi dalam bentuk intelek. Sebagai contoh, Microsoft Windows
95 yang ada pada hari ini adalah hasil dari usaha gigih
pengaturcara-pengaturcara di Microsoft 25 tahun dahulu. Terdapat beribu-ribu
lagi perisian-perisian yang terdapat di dunia yang memerlukan kerja keras
pengaturcara. Bayangkan berapa ribu pengaturcara yang tidak tidur malam, kerja
berjam-jam hanya untuk menyiapkan perisiannya dan mereka mencari sesuap nasi
hanya dengan perisian yang akan disiapkan nanti. Cuba bayangkan pula betapa
senangnya pencetak rompak haram yang dengan beberapa minit sahaja membuat
penyalinan perisian pengaturcara tersebut.
Jika pengguna menyokong cetak-rompak dengan membeli perisian-perisian cetak
rompak maka dengan secara tidak langsung pengguna telah menutup mata pencarian
pengaturcara-pengaturcara dan sekaligus memakan hak orang lain. Ini semua tidak
akan berlaku jika pengguna tahu yang mana benar dan yang mana salah. Salah satu
kesan yang amat ketara di Malaysia ialah kekurangan syarikat tempatan yang
mampu mengeluarkan perisian dalam Bahasa Malaysia. Ini kerana pengaturcara di
Malaysia tahu bahawa, jika mereka mengeluarkan sesuatu perisian, maka dengan
sekelip mata sahaja perisian versi haram akan keluar di pasaran. Ini sekaligus
akan membantutkan industri perisian di Malaysia.
Kebanyakan syarikat perisian di Malaysia hanya membuat perisian yang telah
ditempah oleh pelanggan. Ini kerana mereka tahu bahawa perisian seperti ini
tidak akan di cetak rompak dan perlaburan mereka terjamin. Cuma ada beberapa
syarikat sahaja di Malaysia yang mengeluarkan perisian untuk diedarkan untuk
orang-ramai. Sebagai contoh, Dewan Eja, Mari Belajar Al-Quran, Jawi, dan
beberapa perisian untuk pendidikan sekolah rendah dan menengah. Tetapi mereka
pun masih lagi mendapat saingan daripada perisian-perisian haram yang diimport
dari luar negeri yang jauh lebih murah.
Mengaut keuntungan
Pencetak rompak merupakan dalang kepada cetak rompak di Malaysia. Mereka
menggunakan teknologi tercanggih untuk menyalin cd-rom asal dan mengedarkannya
kepada orang ramai dalam bentuk yang lagi murah. Cuba bayangkan bahawa harga
yang dijual kepada orang-ramai adalah 10% dari harga asal perisian, manakala
harga kos penyalinan haram ini hanyalah 1% dari harga sebenar. Tetapi disebalik
perisian-perisian haram seperi ini, terdapat banyak keburukannya. Kebanyakan
perisian-perisian ini tidak boleh dipakai.
Ada sesetengah perisian haram di dalam cd-rom ini mengandungi virus. Dengan
menggunakan perisian haram pengguna telah terdedah kepada virus yang amat
merbahaya, dan amat malang sekali virus ini tidak boleh dibersihkan kerana ia
terkandung dalam CD-ROM yang tidak boleh ditulis oleh pemacu cd-rom. Kesannya
pengguna tidak boleh menggunakan cakera tersebut dan ia merupakan pembaziran.
Lebih buruk lagi, jika virus itu telahpun memadamkan keseluruhan cakera keras
pengguna.
Terdapat juga keadaan dimana cd-rom yang diedarkan oleh lanun-lanun ini
akan merosakkan pemain cd-rom pengguna. Ini kerana cd-rom yang digunakan oleh
lanun-lanun ini merupakan cd-rom yang mempunyai kualiti yang rendah dan kos
untuk memproses cd-rom ini ialah sebanyak 80 sen sekeping. Berbanding dengan
kos yang digunakan oleh pengedar asal iaitu RM 5 sekeping. Cd-rom yang
berkualiti rendah ini akan merosakkan pemacu cd-rom pengguna dan hasilnya dalam
beberapa bulan sahaja, pemacu cd-rom itu tidak boleh digunakan lagi. Jika anda
mahukan pemain cd-rom anda tahan lama, gunakan cd-rom yang tulen. Walaupun
harganya lebih mahal tetapi ia menjamin pemacu cd-rom anda daripada rosak dalam
jangkasama yang singkat.
Mengelakkan perisian haram
Pengguna boleh mengelakkan perisian haram dengan membeli pada kedai-kedai
yang terpilih sahaja. Perisian-perisian yang tulen di bungkus di dalam kotak
yang berwarna-warni, menarik dan didalamnya terdapat sijil pengesahan bahawa
perisian yang dibeli adalah perisian tulen. Perisian haram tidak mempunyai
kotak langsung, dan ianya diedarkan didalam bekas CD-ROM ataupun di dalam
sampul plastik. Jika pengguna membeli sebuah komputer baru, pastikan pengguna
mendapat sijil pengesahan perisian. Ini untuk membuktikan bahawa perisian yang
terkandung didalam cakera keras komputer baru itu ialah perisian yang tulen.
Jangan terima sebarang hadiah dalam bentuk perisian haram yang ditawarkan oleh
tuan punya kedai. Selain sumber yang diperolehi di kedai, perisian haram juga
boleh didapati melalui internet, Internet Relay Chat (IRC) atau e-mail.
Bussiness Software Alliance (BSA)
BSA ditubuhkan oleh kumpulan-kumpulan perisian komputer di dunia untuk
menangani masalah perisian haram ini. BSA bertanggungjawab untuk mengelakkan
perisian haram ini dari berleluasa. BSA akan mendakwa mana-mana pihak yang
menggunakan perisian haram. Denda yang dikenakan oleh mahkamah ialah RM10,000 untuk setiap salinan perisian
haram yang dimiliki. Mahkamah tidak akan bertolak ansur dalam hal ini. Ahli
ahli yang mengangotai BSA ialah Adobe, Autodesk, Lotus, Novell, Symantec,
Microsoft, atCom, Extol, UBS dan CIE. Anggota-anggota ini memberi kebenaran
supaya BSA boleh mendakwa mana-mana pihak yang memiliki perisian haram.
Selain daripada itu BSA juga berfungsi untuk menyedarkan orang ramai bahawa
cetak-rompak perisian ini adalah sesuatu yang tidak bermoral. Orang ramai yang
memberikan infomasi sehingga tertangkapnya pencetak rompak ini akan diberi
ganjaran sebanyak lebih kurang RM 8000, manakala RM 5000 akan diberi lagi
apabila orang yang tertangkap itu berjaya didakwa di mahkamah. Setakat ini
beberapa syarikat di Malaysia telah didakwa atas tuduhan memiliki perisian
haram. Dan syarikat ini telah didakwa di mahkamah dan didenda. BSA sedang
memperluaskan lagi aktiviti mereka untuk membanteras cetak rompak ini.
Untuk penerbit-penerbit perisian yang lain yang tidak menganggotai BSA, BSA
tidak boleh mengambil sebarang langkah atau tindakan kerana penerbit itu tidak
memberikan kebenaran kepada BSA untuk mengambil tindakan mahkamah, maka
perisian-perisian mereka masih lagi berada dalam ancaman cetak rompak ini.
Kesimpulan
Etika
merupakan sistem atau prinsip moral yang perlu ada untuk pengguna-pengguna komputer.
Ia merupakan perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh pengguna-pengguna untuk menggunakan
komputer dengan cara yang betul dan tidak menimbulkan masalah.
Isu
hak cipta, harta intelek dan cetak rompak perisian pula adalah satu masalah
terbesar industri komputer. Malaysia
telah komited dan percaya kepada kepentingan perlindungan hak milik intelektual
iaitu salah satu elemen perkembangan e-dagang dan industri yang berkaitan
seperti pembinaan kandungan dan pembangunan perisian.
Kerajaan telah melakukan pelbagai tindakan
untuk menentang cetak rompak dan pergantungan kepada barangan ciplak. Adalah
diharapkan bahawa peperangan menentang cetak rompak perisian akan meningkatkan
pembangunan kandungan tempatan dan aplikasi berasaskan komputer .
Pendidikan tentang perisian haram
haruslah dimulai sejak kecil. Justeru itu, pendidikan tentang perisian ini
sepatutnya dimulakan sejak di bangku sekolah lagi. Kesedaran pengguna paling
penting untuk menangani masalah ini
boleh saya tahu siapa yang menulis dan bilakah ditulis entri ini? terima kasih
ReplyDeletetaktau
ReplyDeletetaktau
ReplyDelete